13 September 2011

Sejarah Perjuangan Tok Janggut




INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.


Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.


Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.


Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.


Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.


Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.


Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.


Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.


Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.


Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.


Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.


Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.


Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.


Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.


Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.


Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.


Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.


Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.


Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.


Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.


Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.


Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.


Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.


Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.


Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.


Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.


Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.


Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.


Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.


Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.


Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.


Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.


Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.


Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.


Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

17 February 2011

PEMANDULAN MESIR

Pada 28 September 1970 Dia diberitakan wafat. Matilah seorang nasionalis Arab. Maka menangislah seluruh warga Mesir. Menangislah seluruh warga Arab. Radio Republik Mesir hanya menyiarkan ayat-ayat Quran. Hanya Umi Kalthum perawi Mesir yang kedengaran di radio membawakan shaer dan qasidah tentang perjuangan bangsa Arab.

Dataran Tahrir - dataran yang itulah – muntah ruah dengan manusia. Berpuluh ribu warga Mesir berduyun- duyun ke jalan raya untuk menyatakan selamat tinggal kepada seorang lelaki Arab. Lelaki ini - Gamel Abdel Nasser saorang sosialis, saorang nasionalis – pemula sejarah moden dunia Arab sama seperti Bung Karno untuk dunia Melayu.

Anwar Sadat – ketika itu Naib Presiden dari Parti Sosialis Nasional telah dilantik untuk menggantikan Nasser. Anwar Sadat juga datang dari kumpulan Free Officers Movement yang telah merampas kuasa pada tahun 1952 dan menjadikan Mesir sebuah republik.

Ketika Anwar Sadat mula duduk di kerusi Presiden, Perang Dingin sedang bergolak dengan hangat. Timur Tengah sedang panas membara. Kuasa imperialis Amerika sedang diguddam. Bala tentera Amerika – kuasa yang terkuat dalam dunia ini sedang sedang senak digasak oleh gerila pembebasan rakyat Indo-China. Zionis Israel anak piliharan Amerika adalah musuh utama rakyat Arab.

Di waktu ini juga Soviet Union masih tegak memimpin rakyat dunia untuk bangun menentang kuasa imperialis Amerika. Republik Mesir adalah kawan baik Soviet Union. Tentera Mesir dilatih dan dibekalkan senjata oleh Russia dan Eropah Timur. Senjata-senjata tercanggih Soviet Union semuanya dibekalkan kepada Mesir yang dilihat sebagai pemimpin negara-negara Arab yang lain.

Anwar Sadat pada awalnya tidak memiliki ketrampilan saperti Nasser. Malah dijangkakan sosok yang bernama Sadat ini mungkin duduk di kerusi Presiden untuk sementara sebelum muncul seorang lagi pemimpinan Arab seunggul Naseer. Anggapan ini salah. Sadat merancang dengan licik.

Tiga tahun sesudah menjadi Presiden Mesir, Anwar Sadat bersama Hafeez Al-Assad dari Syria telah menyerang Israel. Ini berlaku di bulan Ramadan 1973. Perang Ramadan ini memeranjatkan Israel. Tentera Mesir telah berjaya menerbus masuk dan memecahkan tembok Bar Lev. Ini ialah kubu dan tembok pertahanan tentera Israel yang dibuat di sebelah Timur Terusan Suez. Bar Lev di heboh heboh sebagai wilayah yang tidak mungkin dapat dibolos. Wilayah ini asalnya telah dirampas oleh Isreal dari Mesir pada perang tahun 1967.

Hampir dua minggu perang berterusan sehingga Majlis Keselamatan Bangsa Bangsa Bersatu memaksa perang dihentikan. Dua kuasa imperial – Amerika dan Soviet Union – hampir bertelagah. Amerika menyokong Israel. Soviet Union menyokong Mesir. Dunia ketika itu tegang.

Perang Ramadan ini mengubah rupa bentuk dunia Arab. Kekalahan pada tahun 1967 kini telah dibalas. Ketika perang ini juga gerila-gerila Palestin yang telah berkampong di Lebanon telah bergerak cergas menyerang Israel dari Selatan Lebanon. Tentera zionis kelihatan telah dipukul hebat. Malah dari segi saikoloji apabila tembok pertahan Bar Lev dapat ditembusi maka semua pertahanan zionis Israel tidak lagi selamat. Mitos tentang kekebalan Israel punah ranah. Mitos tentang kecekapan tentera Israel terbongkar. Arang yang terconteng di muka Mesir dan Arab telah dibersihkan.

Anwar Sadat yang dahulu dianggap ‘ budak kemetot’ kini dinobatkan sebagai wira baru untuk dunia Arab. Sadat telah berjaya mengalahkan bala tentera Israel. Hafiz al-Assad Presiden Syria juga turut sama menerima julangan dari warga Arab.

Paling memeranjatkan ialah tindakan solidariti bersama rakyat Mesir dari al-Malik Faizal. Raja Saudi ini telah mengarahkan semua pam, saluran, talian, laluan dan tangki minyak dihentikan. Tidak ada setitik minyak yang mengalir keluar dari Saudi Arabia. Langkah al-Malik Faizal ini menggemparkan dunia kapitalis. Harga minyak mentah melonjak naik. Dari sinilah munculnya sejarah petrodolar dan kuasa Opec. Disinilah bermulanya kesah kekayaan negara negara Arab pengeluar minyak.

Tetapi kaum zionis dan kaum pemodal terus merancang. Setahun kemudian al-Malik Faizal ditembak mati oleh anak buahnya yang baru balik dari Amerika Syarikat. Si pembunuh ini telah ditafsirkan tidak waras. Tetapi kematian raja Saudi ini dilihat sebagai satu konspirasi untuk memastikan tidak ada lagi raja atau emir atau pemimpin Arab yang berani melakukan tindakan yang menentang kepentingan imperilais dan kaum pemodal. Pembunuhan Faizal adalah langkah untuk menakutkan pemimpin Arab dan pemimpin negara Dunia Ketiga yang lain agar jangan berani ‘ngelencong’ dari dasar pro Amerika dan pro Israel.

Sementara itu di Mesir Presiden Anwar Sadat semakin menampakan belang politiknya. Dengan penghormatan yang telah diberikan oleh rakyat Mesir dan warga Arab, Sadat telah menjadikan dirinya lebih berani. Sadat perlahan-lahan meninggalkan dasar ekonomi sosialis Naseer. Kuasa dan harta kekayaan telah mula mengkaburi mata Sadat. Dalam masa yang sama jarum Amerika dan zionis telah mula merasok Anwar Sadat.

Dengan alasan Soviet Union enggan memberikan senjata senjata terbaru dan tercanggih, Sadat mula rapat dengan Amerika. Ketika ini seorang zionis bernama Henry Kessinger telah melihat bahawa Sadat boleh dimasukan ke dalam saku Amerika. Maka bemulalah apa yang dipanggil ‘ diplomasi ulang alik ‘ – Kessinger berulang alik antara Cairo dan Tel Aviv untuk menyediakan pentas agar dua musuh ketat ini dapat duduk semeja dan berunding.

Ini sebenarnya ialah perancangan licik kaum zionis untuk memisahkan Mesir – negara Arab terkuat - dari perjuangan Arab Palestine. Rancangan telah dibuat untuk memandulkan Mesir dari memainkan peranan sebagai pemimpin negara Arab. Satu ketika dahulu pernah menjadi kata-kata klise : buku ditulis di Mesir, di cetak di Lebanon dan di baca di seluruh bumi Arab. Inilah hakikat penghormatan yang diberikan kepada Mesir pada satu ketika dahulu. Ini kerana Mesir ada gudang dan sarang pemikir Arab manakala Lebanon hanya penuh dengan kaum pedagang.

Akhirnya kaum zionis dan imperialis Amerika berjaya dengan projek memandulkan Mesir. Perjanjian antara Mesir dan Israel ditanda tangani oleh Anwar Sadat dengan Menachem Begin bagai pihak Israel pada thun 1978. Jimmy Carter sebagai Presiden Amerika telah menjadi saksi. Ini dinamakan Perjanjian Camp David.

Perjanjian damai antara zionis Israel dengan Mesir ini membawa implikasi yang maha dalam. Ianya menusuk ke jantung dan nadi perjuangan rakyat Palestine. Mungkin ramai yang kurang sedar bahawa PLO itu ditubuhkan di Mesir atas dorongan Presiden Nassser. Di zaman Naseerlah PLO memulakan slogan : berjuang hingga menang. Kini perjuangan rakyat Arab menentang zionis Israel telah tempang.

Dari segi ekonomi Sadat memulakan apa yang dipanggil dasar ‘infitah’. Infitah adalah dasar penswataan dan keterbukaan. Mesir mula dibuka kepada kaum pemodal antarabangsa. Banyak syarikat kepunyaan negara kini di swastakan. Dengan perlahan-lahan tentera yang dibangunkan oleh Nasser sebagai perjuang Arab kini dirasuah dan di beli oleh oleh Sadat. General dan ketua tentera mula menjadi CEO, pengarah syarikat atau peniaga. Israel yang dahulunya dilihat sebagai musuh kini menjadi rakan niaga.

Dasar Sadat ini ditentang oleh kaum kiri, parti Ikhawan dan parti lama Anwar Sadat sendiri. Parti Islam terus menjadi sasaran kerana Ikhwan Muslimin atau Parti Muslimin Adik Beardik ini dibaca oleh Sadat sebagai penentang tegar dasarnya. Kaum komunis dan kaum kiri Mesir juga menerima pukulan hebat dari Sadat. Penentang-penentang Sadat ini banyak yang berakhir dalam penjara dan diseksa.

Kaum kapitalis, kaum pemodal, imperialis Amerika dan Israel merayakan Sadat. Sadat diperlihatkan sebagai contoh pemimpin Arab yang berani membawa perubahan untuk rakyatnya. Lubang-lubang Sadat - lubang atas dan lubang bawah kembang kempis kerana julangkan ini. Pembelotan dan kezaliman Sadat ini sentiasa diperhatikan dengan rapi oleh rakyat Mesir dan Palestine. Kritikan dari pemimpin Arab yang melihat Sadat belot dari perjuangan Arab telah tidak diendahkan oleh Anwar sadat.

PLO dan perjuangan rakyat Palestine menerima pukulan yang terok. Tanpa sokongan Mesir PLO kini menghadapai banyak masalaah. Tekaan terus dikenakan kepada PLO dan orang-orang pelarian Palestine. Wilayah selamat PLO di Lebanon juga berakhir. Perjuangan gerila Palestin makin terdesak.

Anwar Sadat kini merasa bahawa dirinya telah diterima sebagai salah seorang pemimpin dunia yang unggul. Sadat mendapat hadiah Nobel. Dia disambut dengan permaidani merah di Rumah Puteh dan di Tel Aviv. Media barat juga mengangkat-angkat Sadat hingga ke awan. Media Barat juga tidak jujur. Medua Barat tidak melaporkan tentang penjara Sadat yang penuh dengan tahanan politik.

Semuanya berubah pada pagi 6 – Oktober 1981 apabila Lefternan Khalid Islambouli dari kumpulan Jihad Islam menembak mati Presiden Anwar Sadat. Presiden Sadat ketika itu sedang menyaksikan perarakan tentera untuk mengingati hari tentera Mesir berjaya melintasi terusan Suez dan memecahkan tembok Bar Lev Israel pada Oktober 1973. Di hari yang bersejarah itu Anwar Sadat dibunuh. Anwar Sadat digantikan pula oleh Hosni Mubarak. ( TT)

14 February 2011

HARAM menyambut hari kekasih/Valentines Day

Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian.


TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.
Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan JAKIM membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.
Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.
Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.
Laman web Spiritrestoration.org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ’sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’
Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
+ Artikel asal dari: http://nurjeehan.hadithuna.com

REJIM YANG ZALIM MESTI DITUKAR!

REJIM YANG ZALIM MESTI DITUKAR!
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dunia Arab bergolak. Dari Tunisia ke Mesir dan biarlah ia menjalar ke seluruh pelusuk daerah yang dikuasai oleh rejim yang zalim; yang menghina agama, menghisap darah rakyat, memundurkan negara, memerintah untuk kepentingan kroni dan keluarga, mengaut kekayaan peribadi sedangkan rakyat dalam kemiskinan. Memang sepatutnya telah lama ia bergolak. Persis seperti kata ‘Ali bin Abi Talib r.a:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Rakus
Dunia Islam adalah dunia yang kaya. Kedudukan negara-negara umat Islam amat strategik. Malangnya, ramai para penguasa yang zalim dan korupsi menguasai politik. Lihatlah Tunisia, walaupun majoriti penduduknya muslim tetapi pemimpinnya di samping zalim dan khianat, mempersendakan agama; memperlekehkan puasa Ramadan, mengharamkan tudung kepala (hijab) ke atas wanita dan pelbagai lagi.

tunisia_first_lady_leila_ben_ali.jpg
First Lady Tunisia - Leila Ben Ali

Isteri Ben Ali bekas Presiden Tunisia yang diusir oleh rakyatnya bernama Leila al-Tarabulusi yang dulu ‘First Lady Tunisia’, dilaporkan oleh media Perancis membawa lari emas Tunisia ke Dubai seberat 1.5 tan. Semasa berkuasa, beliau atas nama suami bermewahan dengan harta negara. Padah perbuatan suami, ditambah dengan sikap ‘berlebihan’ isteri dan keluarga.
Lihatlah Mesir, jika pemimpinnya amanah betapa besar kekayaan yang dapat dikaut dari hasil Suez Canal atau Terusan Suez yang menghubungkan antara Laut Mediterranean dengan Laut Merah. Tax dari terusan tersebut jika diuruskan dengan betul menjadi sumber yang amat besar untuk negara itu. Bahkan dikatakan mampu membiayai setiap warga Mesir.
Mesir ada gas. Mubarak salurkannya kepada negara haram Israel. Israel membeli gas Mesir lebih murah dari rakyat Mesir sendiri. Sungai Nil yang subur tidak diusahakan secara bersungguh oleh Kerajaan Mesir, bahkan mereka masih mengimport makanan dari luar. Rakyat Mesir ramai yang hidup dalam kemiskinan. Dilaporkan lebih 42 peratus dari 81 juta lebih rakyat Mesir berada di bawah paras kemiskinan. Jutaan rakyat hidup tanpa rumah dan makan. Peranan Mubarak hanyalah menjaga kepentingan diri, kroni, Israel dan Amerika!
Itu di Mesir, di sana masih ada lagi Syria, Yaman, Morocco dan lain-lain yang hampir sama keadaannya. Malang sekali, di bawah rejim-rejim yang berkuasa itu media dibisukan, fakta dibohongi dan rakyat diperbodohkan. Nyawa dan darah rakyat begitu murah. Mereka menyeksa dan membunuh pengkritik. Gambar rejim-rejim ini diangkat dan disanjung secara upah ataupun paksa. Rakyat hidup menderita dan kelaparan. Kekayaan dibahagi secara songsang. Harta setiap pemimpin dan keluarga mereka mencecah ratusan billion dolar, sedangkan pendapatan rakyat tidak sampai satu dolar pun sehari. Bahkan ada pendapatan yang tidak sampai seratus ringgit Malaysia sebulan.
Bohong
Para pemimpin yang selekeh dan tidak amanah menguasai kebanyakan Dunia Islam dan Arab. Mereka diagungkan oleh golongan yang berkepentingan dan disokong oleh segelintir rakyat yang diperbodohkan. Barat yang kononnya inginkan demokrasi disebarkan, namun mereka hipokrit dalam masalah Dunia Islam. Mereka membiarkan pemerintah kuku besi terus di tampuk kuasa selagi kepentingan mereka dijaga. Jiwa kapitalis Barat melebihi kehendak demokrasi mereka. Jadi, Dunia Islam bak kata Nabi s.a.w:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Hakim dll. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).
Salah Sasaran
Malang sekali, ulama-ulama ‘pro rejim’ seperti Mufti Mesir yang hari ini sibuk menasihati rakyat agar jangan berdemonstrasi dan mengalu-alukan langkah Hosni Mubarak untuk proses pembaharuan, tidak pula selama ini membantah kerakusan kuasa yang berlaku. Pada hari pemerintah mengaut dan menghisap darah rakyat, mereka sibuk membahaskan isu-isu ketaatan rakyat kepada pemimpin dan tidak pula bertegas tentang kewajipan pemimpin menunaikan hak rakyat. Jika Hosni gagal membuat perubahan dalam masa 30 tahun memerintah, apakah mungkin dia boleh melakukannya dalam masa 7 bulan yang dijanjikan?! Jika mampu pun, bererti dia selama ini khianat kerana tidak melakukan pembaharuan itu dalam masa 30 tahun tiba-tiba hari ini dia menyatakan ia boleh dilakukan dalam masa 7 bulan!.

mubarak-image.jpg
Gambar Hiasan

Hari ini golongan agamawan khususnya dari aliran ‘salafi’ sibuk membahaskan tentang demokrasi dan demonstrasi bukan dari ajaran Islam. Bagi saya itu adalah persoalan persepsi bagaimana kita memahami demokrasi dan dalam konteks apa demokrasi itu dilihat. Kita patut bertanya mereka apakah pemerintahan otokrasi atau kukuh besi itu dari ajaran Islam? Apakah membiarkan pemerintah menghisap darah rakyat tanpa membantah itu dibenarkan oleh Islam?
Persoalan falsafah dan konteks demokrasi dan demonstrasi memang patut dibincang dan dihalusi di sudut fekahnya. Namun adalah tidak adil apabila rakyat bercakap soal demokrasi dan demonstrasi lalu fatwa haram atau bid’ah dikeluarkan, sedangkan ketika pemerintah mengamalkan kuku besi, kezaliman, rasuah dan merompak hasil negara, golongan agama ini muncul dalam media untuk hanya mengingatkan rakyat tentang syurga dan neraka, tetapi tidak pula membaca nas-nas agama yang mengingati pemerintah bahawa kezaliman mereka adalah dosa yang amat besar dan neraka yang bakal menanti. Apakah agama hanya candu untuk rakyat bawahan supaya dapat melupakan kerakusan orang atasan?! Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).
Mengapakah golongan pro-rejim tidak mengingatkan pemimpin mereka tentang hadis Nabi s.a.w: “Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga” (Riwayat Muslim).
Demonstrasi Aman
Ya, tiada siapa yang bersetuju dengan demonstrasi ganas. Rakyat diharapkan keluar ke jalan dengan aman sebagai tanda bantahan atas kezaliman rejim-rejim mereka. Ia salah satu dari menzahirkan bantahan terhadap kemungkaran. Dalam hadis seorang lelaki datang mengadu kepada kepada Rasulullah s.a.w, katanya:
“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Demikian, Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan kezaliman dengan mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita boleh bertindak sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih besar dan sukar disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan bantahan di jalan yang lebih hebat diperlukan. Apa yang penting, penunjuk perasaan tidak boleh menumpahkan darah sesama umat Islam dan rakyat, juga tidak merosakkan harta awam dan mereka yang tidak bersalah.
Dunia Arab dan Islam mesti berubah. Eropah telah lama menyingkirkan pemimpin mereka yang korupsi dan kuku besi. Kadang-kala hak binatang yang dinikmati oleh Barat lebih baik dari hak manusia yang hidup di bawah rejim-rejim yang berkuasa di Dunia Arab dan Islam. Jatuh! Jatuh! Jatuhlah segala rejim!.

31 January 2011

Info jalan yang di tutup sekitar bencana banjir tahun 2011

Salam ta'ziah bagi warga Segamat...... Cobaan datang lagi.....
Bagi mendapatkan info berkaitan jalan-jalan yang ditutup akibat bencana banjir ini sila klik disini.

Banjir Segamat 2011

Gambar Banjir di Segamat untuk tahun 2011......